April berlalu dengan pantasnya. Sedar tak sedar sekarang sudah masuk bulan Mei. Sudah beberapa hari Pilihanraya Umum Malaysia berakhir. Ada yang menang dan kalah, itu biasa menjadi adat yang pasti. Ungkapan dan huraian terlalu banyak, samada dipihak yang menang mahupun yang tewas.
Tapi apapun semua perwakilan dari parti masing-masing mahukan yang terbaik untuk Negara. Sewajarnya begitulah, perjuangan sesuatu parti itu perlulah mewakili perjuangan Negara. Ini kerana perjuangan mewakili bangsa seolah tidak relevan lagi. Bukankah kita ini dalam sebuah Negara yang berbilang kaum dan bangsa.
Dakwat kekal buat pertama kalinya diguna pakai dalam Pilihanraya Umum kali ini. Penulis meragui akan istilah kekal disini. Juga keliru adakah kekal bermaksud kekal untuk beberapa minit, beberapa jam atau beberapa hari. Penulis pergi mengundi seawal 8.05 pagi pada 5 May. Selesai mengundi penulis terus ke tempat kerja. Penulis ke tandas awam, sapu sedikit dengan sabun dan cuci jari. Terkejut penulis bila dapati mudah sungguh dakwat 'kekal' tu luntur dan hilang.
Juga satu hal dengan pengundi hantu, walaupun kita semua sedia maklum kalah menang itu perkara biasa, tapi kalau kalah sebab yang menang guna taktik kotor bagaimana? Ini adalah penipuan yang nyata. Penulis percaya samada dari pihak kerajaan mahupun pembangkang tidak mahukan perkara sebegini. Manakala di pihak Suruhanjaya Pilihanraya(SPR) pula kredibiliti mereka akan dipertikaikan. Sewajarnya kita semua mahukan keadilan dan kesaksamaan.
Apapun kita semua adalah penyumbang kepada kemajuan Negara. Jika perilaku kita baik, bermakna kita menyumbang kebaikan kepada Negara kita. Dan jika perilaku kita jahat, bermakna kita menyumbang keburukan kepada Negara kita sendiri. Tolak perkauman, semua bangsa bersatu padu dan kita akan terus maju. Bukankah perkongsian itu akan memaju kejayaan kita bersama?
No comments:
Post a Comment